TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang atas 20 pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii terhadap adik iparnya. FOTO NSTP
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang atas 20 pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii terhadap adik iparnya. FOTO NSTP
Sarah Zulkifli


EJEN hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang, hari ini, atas 20 pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii terhadap adik ipar dan menyimpan bahan lucah aksi seks bersama mangsa sejak tiga tahun lalu.

Bapa kepada tiga anak berusia 30 tahun itu membuat pengakuan sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, bapa yang bakal menimang anak keempat pada Jun nanti itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, antara 22 September hingga 31 Disember 2016.

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376 2(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh didakwa dengan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii dengan mangsa selain dua tuduhan memaksa mangsa melakukan seks oral.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 September 2016 hingga 25 Februari 2017 di lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbit iPhone 5s miliknya yang ditemui pada 23 Mac lalu, jam 2.05 petang di rumah di alamat sama.

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh berikutan bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan diberikan dengan beberapa syarat tambahan termasuk melapor diri sebanyak dua kali sebulan di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain larangan daripada mahkamah supaya tidak mengganggu saksi.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:54 PM