FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Shahrinnahar Latib


TERPEDAYA dengan janji pulangan RM150,000, seorang mekanik berputih mata apabila wang yang dilaburkan RM15,000 lesap angkara sindiket penipuan mata wang kripto.

Mangsa berusia 40 tahun itu kerugian gara-gara termakan pujukan sindiket yang menjanjikan pulang berlipat ganda untuk pelaburan berjumlah RM3,450 hanya dalam tempoh 24 jam.

Sindiket itu mengumpan mangsa pada 5 Mac lalu selepas lelaki itu tertarik dengan iklan yang disiarkan di laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Paul menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Mangsa memberitahu yang dia berminat melabur dalam pakej perak bernilai RM500 sebelum membuat pindahan wang ke akaun bank.

“Bagaimanapun, selepas membuat pindahan, Paul memberitahu pakej itu ditutup dan mangsa diminta melabur ke pakej berlian dengan modal permulaan RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa membuat pindahan RM1,500 sebelum dimaklumkan Paul pakej itu ditutup dan menawarkan mangsa dengan pakej baharu.

“Mangsa diberitahu ada empat pakej pelaburan yang bermula serendah RM900 hingga RM6,100. Mangsa bagaimanapun berminat dengan pakej pelaburan bernilai RM3,450 yang menjanjikan pulangan RM152,200 dalam tempoh 24 jam.

“Mangsa membuat pindahan RM1,450 ke dalam akaun sama. Pada 7 Mac lalu, Paul memberitahu mangsa sudah mendapat keuntungan RM152,200. Mangsa perlu menjelaskan yuran pengeluaran RM7,760,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pada hari sama mangsa memindahkan wang seperti diminta.

“Mangsa membuat bayaran itu, tetapi suspek sekali lagi meminta mangsa membayar RM3,160 untuk tambahan cukai bank,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu kerana tidak menerima bayaran keuntungan daripada pelaburan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di sini, kelmarin.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 7:00 AM