AHMAD Marzuk Shaary. FOTO arkib NSTP
AHMAD Marzuk Shaary. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


AKIBAT mengeluarkan perkataan 'pondan' kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dihalau keluar oleh Timbalan Yang di-Pertua Datuk Rashid Hasnon dari Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Rashid sebelum itu mengarahkan Ahmad Marzuk menarik balik perkataan itu selepas Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) membangkitkan Peraturan Mesyuarat Perkara 36 (4) iaitu mengeluarkan perkataan tidak sopan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen PAS itu hanya setuju berbuat demikian sekiranya Lim membenarkannya membacakan bukti isu berkaitan tender terbuka yang didakwa menghapuskan keistimewaan kontraktor Bumiputera selepas dicabar berbuat demikian.

Lim tidak memberi laluan sebaliknya meminta Ahmad Marzuk menyerahkan terus kepadanya bukti berkenaan.

"Tadi menteri cabar saya memberikan bukti, ini benarkanlah saya baca, biar rakyat dengar. Saya minta menteri jadi anak jantan, jangan jadi pondan macam Bagan," katanya.

Beberapa penyokong kerajaan kemudian bangkit serentak membantah tindakan itu dan mendesak Ahmad Marzuk menarik balik perkataan berkenaan tetapi beliau enggan dan bertegas mahu membacakan 'bukti' itu.

Berikutan keadaan semakin tidak terkawal, Rashid menghalau Ahmad Marzuk keluar dewan selepas beliau enggan menarik balik balik perkataan 'pondan' walaupun sudah tiga kali diarahkan berbuat demikian.

Berikutan itu, semua Ahli Parlimen pembangkang PAS dan BN turut keluar dari dewan.

Rashid kemudian menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu digantung selama dua hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 6:50 PM