RESIT dan buku menu harga makanan yang disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati mengenakan harga minuman berlainan daripada harga yang dipamerkan di dalam buku menu harga makanan premis itu dalam operasi di Kimanis, Papar. FOTO Ihsan KPDNHEP
RESIT dan buku menu harga makanan yang disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati mengenakan harga minuman berlainan daripada harga yang dipamerkan di dalam buku menu harga makanan premis itu dalam operasi di Kimanis, Papar. FOTO Ihsan KPDNHEP
Norasikin Daineh


WANITA yang juga pemilik restoran bakal dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati mengenakan harga minuman berlainan daripada harga yang dipamerkan di menu harga makanan premis itu.

Menurut sumber KPDNHEP, premis yang terletak di Kimanis itu diserbu kira-kira 1 tengah hari semalam oleh sepasukan penguatkuasa KPDNHEP.

Sumber berkata, hasil serbuan mendapati harga bagi segelas air Milo panas di dalam buku menu makanan adalah RM2.50, bagaimanapun harga yang dikenakan kepada pelanggan adalah sebanyak RM3.

Serbuan itu dibuat susulan daripada satu aduan dibuat orang awam menerusi WhatsApp berhubung caj minuman yang dikenakan di restoran itu.

Sementara itu, menurut Facebook KPDNHEP-Negeri Sabah, sebuah restoran di Kimanis telah diambil tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Pemilik premis itu dikenakan tindakan kerana menjual minuman panas iaitu Milo dengan harga RM3 segelas walhal harga yang dipamerkan di buku menu harga di restoran terbabit adalah RM2.50 segelas.

“Resit jualan untuk segelas Milo panas serta dua unit buku menu harga di restoran itu telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, selain serbuan itu, pemeriksaan bekalan dan harga cili merah juga turut dijalankan di pasar, pasar raya dan kedai di sekitar Pasar Bongawan, Kinarut dan Putatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 1:15 PM