Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor melakukan operasi di Uptown Jalan Reko, Kajang dan pusat hiburan di Klang malam tadi.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor melakukan operasi di Uptown Jalan Reko, Kajang dan pusat hiburan di Klang malam tadi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PANIK menyedari kehadiran pihak berkuasa menyebabkan kumpulan peniaga pendatang asing tanpa izin (PATI) nekad meninggalkan barang jualan di Uptown Jalan Reko, Kajang, Selangor di sini, malam tadi.

Bagaimanapun cubaan mereka untuk melarikan diri gagal apabila kawasan berkenaan dikepung Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.

Dalam serbuan bermula jam 11 malam itu seramai 103 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan adalah pekerja dan pengunjung uptown berkenaan.

“Ketika serbuan dijalankan ada diantara mereka cuba melarikan namun berjaya ditahan anggota penguatkuasa.

“Seramai 59 individu yang ditahan adalah lelaki manakala 44 lagi wanita membabitkan warga Indonesia dan Bangladesh,” katanya.

Difahamkan ada antara PATI warga Bangladesh ditahan membuka perniagaan di Uptown berkenaan.

Mohamad Shukri berkata, dalam operasi berasingan, pihaknya turut menyerbu sebuah pusat hiburan di Klang.

“Seramai 40 PATI dipercayai pekerja dan pelanggan di premis berkenaan diperiksa.

“Hasilnya 24 warga asing ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan di bawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa untuk proses dokumentasi sebelum di tahan di Depot Imigresen Semenyih.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama, Peraturan 39(b) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“JIM juga tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang sedia ada sama ada warga asing atau warga tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 6:54 PM