SULTAN Ibrahim berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK 1)  kepada Che’ Puan Khaleeda (kiri) dan Darjah Paduka Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) kepada Dennis Muhammad. FOTO Royal Press Office
SULTAN Ibrahim berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK 1) kepada Che’ Puan Khaleeda (kiri) dan Darjah Paduka Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) kepada Dennis Muhammad. FOTO Royal Press Office
Izlaily Nurul Ain Hussein


ISTERI Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendahului senarai penerima kurniaan darjah dan pingat sempena Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Che’ Puan Khaleeda Bustamam dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI) pada istiadat berlangsung di Dewan Singgahsana, Istana Besar Johor, Johor Bahru.

Kurniaan darjah diikuti suami kepada Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim iaitu Dennis Muhammad Abdullah.

Beliau dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima gelaran Datuk selepas dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Md Rofiki A Shamsudin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Mohd Noorazam Osman dan CEO Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Noh Ibrahim.

Dua lagi individu yang turut menerima darjah sama adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dr Badrul Hisham Kassim dan Setiausaha Sulit Kepada Sultan Johor, Jaba Mohd Noah.

Seramai 30 penerima dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) tanpa membawa gelaran.

Mereka ialah Setiausaha Bahagian Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia), Hasrin Kamal Hashim; Pengerusi Mutiara Johor Corporation, Datin Noor Laila Yahaya; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner M Kumar; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz dan Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Aman Rabu.

Sementara itu, Pingat Kerana Lama dan Baik Dalam Pekerjaan (PLP) dikurniakan kepada 19 orang penerima, manakala seramai 115 individu menerima Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II) dan Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Ketiga (PSI III) pula dikurniakan kepada 15 individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 12:03 PM