IZHAM Hashim pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14. FOTO Saddam Yusoff
IZHAM Hashim pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14. FOTO Saddam Yusoff
Khairul Azran Hussin


KERAJAAN Selangor wajar membenarkan penanaman ganja bagi tujuan perubatan dan penyelidikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim.

Beliau berkata, banyak pihak melihat tumbuhan ganja sebagai memudaratkan, sedangkan ia mempunyai dua jenis spesis, iaitu yang menyebabkan khayal dan tidak khayal.

“Ganja spesis marijuana menyebabkan khayal kepada mereka yang mengambilnya, manakala spesis hem tidak beri kesan apa-apa, kita makan banyak pun tidak khayal.

“Kedua-dua marijuana dan hem adalah ganja yang mempunyai bentuk daun yang serupa, namun kedua-dua spesis ini mempunyai kesan yang sangat berbeza,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Izham berkata, semua pihak perlu melihat cadangan untuk membenarkan penanaman ganja secara positif kerana ia dapat menjana pendapatan kepada negara.

“Saya yakin banyak pihak yang setuju dengan cadangan ini, cuma isunya sekarang ialah berkaitan aspek kawalan keselamatan.

“Amerika, India dan Thailand antara negara yang membenarkan tanaman ganja dan lokasi tanaman ini mempunyai kawalan keselamatan yang sangat ketat,” katanya.

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, kerajaan Selangor wajar membenarkan penanaman ganja, malah undang-undang negara membenarkan perkara itu dilakukan.

Katanya, tanaman ganja memberi pulangan besar iaitu sekurang-kurangnya RM9 juta setahun bagi keluasan tanah 0.4 hektar meliputi tiga kali proses penuaian, sekali gus memberi pulangan lumayan berbanding tanaman sawit.

Mohd Shaid berkata demikian ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor pada sidang DUN Selangor.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, dilaporkan berkata pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, jika memperoleh kebenaran daripada Menteri Kesihatan.

Beliau berkata, terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan ruang bagi penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.

Pada Jun tahun lalu, kisah kejayaan tiga rakyat Malaysia yang berjaya menghasilkan Minyak CBD (Cannabidiol) daripada Cannabis Sativa dan menetap di United Kingdom itu mendapat perhatian media tempatan.

Syarikat itu diasaskan sepasang suami isteri, Abdul Halim Pauzi dan Nurul Ain Sahbudin, serta rakan mereka, Mohd Roslan Abdullah yang sudah 15 tahun menetap di negara itu bukan sahaja melakukan kajian mengenai keberkesanan minyak ganja dalam perubatan, malah turut memperoleh lesen bagi memasarkan produk dihasilkan ke 50 negara lain di Kesatuan Eropah.

Berita berkaitan

Tanam ganja untuk perubatan - ADUN Jeram

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 12:01 AM