ANTARA motosikal yang disita. FOTO ihsan polis
ANTARA motosikal yang disita. FOTO ihsan polis
Fardy Bungga


LAPAN motosikal disita manakala 32 saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan dalam Op Samseng Jalanan dan Mabuk yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Dalam operasi yang berakhir jam 5 pagi itu, sebanyak 135 kenderaan diperiksa di tiga lokasi berasingan sekitar ibu negeri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lapan motosikal disita selepas mendapati penunggang tidak mempunyai lesen.

Selain itu katanya, saman yang paling banyak dikeluarkan adalah membabitkan kesalahan lampu brek ketiga tidak berfungsi.

“Tujuan operasi diadakan bagi mengesan kegiatan samseng jalanan dan pemandu kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

“Dalam operasi ini, polis turut menggunakan sistem M-cops untuk pemeriksaan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta semakan waran tangkap,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, usaha penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan dijalankan secara berterusan terutamanya bagi mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol selain mencegah kegiatan rempit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 12:39 PM