Poliana Ronnie Sidom


ENAM puluh satu panggilan kes kebakaran lalang dan belukar diterima Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan susulan cuaca panas sejak Januari lalu sehingga semalam.

Ia membabitkan 54 kes kebakaran lalang manakala tujuh kes kebakaran belukar dengan ada kawasan membabitkan keluasan sekurang-kurangnya lima hektar.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew berkata, faktor geografi di daerah itu yang terletak berhampiran laut dengan udara kering serta persekitaran panas memudahkan kebakaran merebak.

Sehubungan itu katanya, masyarakat perlu mengelak melakukan pembakaran secara terbuka untuk menghindar kebakaran lebih teruk yang bukan saja menjejaskan kualiti udara, kawasan sekitar, malah memberi kesan terhadap operasi bomba.

“Biasanya kita terima panggilan kebakaran lalang atau belukar apabila api sudah besar.

“Untuk operasi memadam kebakaran membabitkan kawasan sebegini lebih sukar kerana memerlukan masa lebih lama.

“Kebakaran juga biasanya berlaku di kawasan jauh dari sumber air sekali gus menyukarkan lagi operasi memadam,” katanya pada Majlis Bersama Media hari ini.

Majlis itu bertujuan memperkenalkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan yang baru iaitu Jimmy Lagung.

Dalam perkembangan berkaitan, Anddre berkata, sepanjang Januari sehingga semalam, 212 panggilan diterima dengan 107 kes membabitkan kebakaran manakala 105 kes lagi penyelamatan.

Daripada jumlah itu katanya, 15 kes membabitkan kecederaan, tiga kematian manakala 13 lagi mangsa dapat diselamatkan.

“Keseluruhan kes membabitkan RM500,000 kerugian harta benda dan kira-kira RM58 juta berjaya diselamatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:03 PM