CHRIS Leong bersama warganegara Malaysia yang ditahan di Palembang, Indonesia tiba di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
CHRIS Leong bersama warganegara Malaysia yang ditahan di Palembang, Indonesia tiba di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


“KES sudah ditutup dan saya masih boleh ke sana lagi pada masa depan. Cuma, kena tampil dengan dokumen lengkap dan kertas kerja,” kata Pakar tulang kaedah perubatan terapi Cina Tit Tar, Datuk Chris Leong atau nama sebenarnya Leong Kong Yan, 43.

Chris bersama kumpulannya seramai 16 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini selepas dua bulan ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana dakwaan melanggar peraturan visa melancong.

Ketibaan Chris disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaacob.

Chris yang ditemui berkata, pihak berkuasa Indonesia mengalu-alukan kedatangannya pada masa depan namun, dengan syarat perlu tampil dengan dokumen lengkap termasuk kertas kerja bagi kerja-kerja amal dan kebajikan yang akan dilakukan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Kementerian Luar dan pihak berkuasa Indonesia kerana banyak membantu menyelesaikan isu berkenaan.

“Walaupun proses pengesahan dokumen mengambil masa yang agak lama namun, kami semua dilepaskan kerana kerja-kerja amal dan kebajikan yang kami lakukan di negara itu sebelum ini,” katanya.

Katanya, beliau dan kumpulannya ke Palembang, Indonesia pada 8 Januari lalu bagi melakukan kerja-kerja amal termasuk bekerjasama dengan tabib Cina di sana selain demonstrasi urutan kepada warga emas.

Dalam pada itu, katanya, beliau menasihatkan warga Malaysia yang ingin ke luar negara supaya menyediakan dokumen perjalanan yang lengkap selain mematuhi peraturan ditetapkan negara berkenaan.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan pakar tulang itu ditahan Jabatan Imigresen Indonesia di Palembang bersama 20 sukarelawan untuk agensi Chris Leong Method (CLM) kerana melanggar peraturan visa melancong, 8 Januari lalu dan disiasat mengikut Fasal 122 Undang-Undang Imigrasi Indonesia.

Chris dilaporkan ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Palembang bersama pasukan sukarelawannya itu yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, dua warga Hong Kong dan seorang warga Belgium serta Ireland.

Sementara itu, Muhammad Shahrul Ikram mengingatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi undang-undang tempatan apabila berada di luar negara.

“Kalau diperhatikan sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia menghadapi pelbagai masalah dari segi visa. Kes ini adalah salah satu contoh.

“Jadi rakyat Malaysia perlu berhati-hati. Contohnya, kalau ada visa pelancong, kita mungkin disalah anggap oleh tuan rumah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang negara mereka (jika melakukan urusan lain),” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Indonesia atas kerjasama yang diberikan.

“Mereka buat siasatan dan atas rayuan pihak kita, mereka tidak meneruskan kes ini untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Master Chris perlu dibebaskan selepas 40 hari
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 7:29 PM