Pulau Kukup, Pontian. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Pulau Kukup, Pontian. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Ibrahim Isa


MAJLIS Mesyuarat Kerajaan (MMK) Johor mengambil keputusan mengekalkan Pulau Kukup, Pontian sebagai Taman Negara (Taman Negara Pulau Kukup) sekali gus membatalkan keputusan sebelum ini yang menggugurkan status itu, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan kepentingan semua pihak sebelum ia diwartakan semula Januari lalu.

Katanya, kerajaan negeri mengembalikan status Taman Negara Pulau Kukup bagi memastikan kawasan itu terus kekal sebagai pulau paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia.

Menurutnya, status Taman Negara Pulau Kukup dibatalkan sebelum pilihan raya umum lalu dan apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negeri pihaknya menerima banyak bantahan dan desakan supaya status pulau itu sebagai Taman Negara dikembalikan.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan pulau itu terus dijadikan Taman Negara.

“Justeru MMK membuat keputusan untuk mengekalkan status taman negara kepada pulau berkenaan,” katanya hari ini.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Disember lalu, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan memastikan status Pulau Kukup kekal sebagai salah satu Taman Negara Johor.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan mendedahkan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara digugurkan.

Osman juga dipetik sebagai berkata, hasil perbincangan Sultan Ibrahim prihatin dengan kepentingan kawasan itu sebagai hutan paya bakau berkenan supaya Pulau Kukup terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor.

Selain terus kekal sebagai Taman Negara Pulau Kukup, beliau mahu ia dijaga dan dikawal selia kerajaan negeri di bawah Perbadanan Taman Negara Johor.

Kekecohan mengenai status Pulau Kukup mendapat perhatian orang ramai apabila surat bertarikh 25 Oktober, memaklumkan pihak berkuasa negeri akan membatalkan keseluruhan kawasan Pulau Kukup sebagai Taman Negara mengikut Subseksyen 3 (3) Enakmen Alam Sekitar Taman Negara (Johor) 1989 mula tersebar.

Pada 6 Disember lalu, sidang DUN Johor meluluskan usul tergempar untuk MMK Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup di Pontian.

Usul dibawa Ir Khairuddin A Rahim diluluskan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain Khairuddin, usul itu dibahaskan dua ADUN lain iaitu Mohd Solihan Badri dan Md Ysahrudin Kusni

Sehingga kini, terdapat enam taman negara di Johor iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:20 PM