Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG pembantu operasi kerugian hampir RM3,000 akibat ditipu sindiket menawarkan pinjaman kewangan tidak wujud di Kuala Terengganu.

Kejadian dipercayai bermula apabila lelaki berusia 57 tahun itu melayari Facebook dan tertarik dengan iklan pinjaman kewangan yang ditawarkan sebuah syarikat pada 26 Februari lalu.

Menurut sumber, mangsa menghubungi nombor yang diiklankan dan berurusan dengan seorang lelaki bagi mendapatkan maklumat sebelum bersetuju membuat pinjaman RM10,000.

Katanya, mangsa hanya berurusan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan melakukan beberapa transaksi hampir RM3,000 selepas diminta suspek kononnya sebagai pembayaran komisen 20 peratus.

“Suspek kemudian memaklumkan pinjaman itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank mangsa sebaik dia selesai membuat bayaran komisen ditetapkan.

“Bagaimanapun, selepas dua hari menunggu, mangsa masih tidak menerima wang dijanjikan sebelum menghubungi suspek bagi bertanyakan status pinjamannya namun gagal.

“Mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan polis pada 28 Februari lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 3:11 PM