ANGGOTA polis membawa Hong dan Hoo ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. FOTO Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA polis membawa Hong dan Hoo ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. FOTO Syarafiq Abd Samad
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan memiliki modem Internet tanpa wayar (WiFi) yang tidak mengikut piawaian ditetapkan, bulan lalu.

Tertuduh, Hong Chung Hing seorang penghantar makanan dan Hoo Kah Choon, penyelia tapak yang masing-masing berusia 33 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mabel S Muttiah.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa memiliki satu peranti WiFi tidak mengikut piawaian di tepi Jalan Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor 12 tengah hari, 27 Februari lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 239(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, segelintir pemberi pinjaman wang haram (along) menggunakan peranti yang tidak diiktiraf oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk menghantar pesanan ringkas mengenai iklan pinjaman tidak berlesen mereka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya berpendapatan kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Selain itu, mahkamah kemudian menetapkan 8 April ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 2:07 PM