PELURU hidup, dadah serta peralatan menghisap dadah dirampas daripada empat lelaki dalam serbuan di rumah kedai di Taman Sejahtera, Lunas, Kulim, hari ini. FOTO ihsan polis.
PELURU hidup, dadah serta peralatan menghisap dadah dirampas daripada empat lelaki dalam serbuan di rumah kedai di Taman Sejahtera, Lunas, Kulim, hari ini. FOTO ihsan polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN empat lelaki menyimpan 25 butir peluru hidup senapang patah dan memiliki dadah mengundang padah apabila mereka ditahan di rumah kedai di Taman Sejahtera, Lunas, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, polis yang menjalankan Op Tapis menerima maklumat ke premis terbabit dan menyerbu rumah kedai tidak berkunci itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek berusia 21 hingga 33 tahun itu yang panik melihat kehadiran polis cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan, namun gagal dan ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui satu bekas kecil warna hitam mengandungi 3 paket plastik lutsinar pelbagai saiz disyaki syabu seberat 7.7 gram bersama alat menghisap dadah.

“Polis turut menemui sebuah beg galas dan di dalamnya terdapat satu kotak berisi 25 butir peluru hidup senapang patah.

“Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 6:59 PM