KAMARUDDIN (empat dari kiri) bergambar bersama golongan asnaf yang menerima sumbangan daripada Yayasan Ikhlas di Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
KAMARUDDIN (empat dari kiri) bergambar bersama golongan asnaf yang menerima sumbangan daripada Yayasan Ikhlas di Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


YAYASAN Ikhlas memperuntukkan RM3 juta pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program dalam usaha membantu golongan asnaf dan mereka yang ditimpa musibah di seluruh negara.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Kamaruddin Kassim berkata, peruntukan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pendidikan, komuniti dan bencana.

Beliau berkata, sejak 2013, Yayasan Ikhlas sudah membantu lebih 50,000 orang dilanda musibah seperti banjir, rumah terbakar, tanah runtuh dan sebagainya.

“Bermula 2013, kami menyumbang bantuan persekolahan kepada 5,000 pelajar miskin termasuk anak yatim, nelayan dan penoreh getah.

“Kami turut mengadakan program berkhatan beramai-ramai dan pada tahun lalu, seramai 220 penduduk di Kapit, Belaga dan Sungai Asap di Sarawak dikhatankan.

“Tahun ini pula, kami akan ke Patani, Thailand untuk mengkhatankan 120 kanak-kanak di sana,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada 150 Golongan Miskin di Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merangka beberapa program pelaburan untuk membina ekonomi golongan asnaf seperti projek tanaman dan penternakan.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada rakan strategik Yayasan Ikhlas yang banyak memberi sumbangan seperti kewangan, tenaga dan kepakaran dalam menjayakan misi.

“Kami tidak pernah menyeleweng peruntukan disumbangkan kerana akan mengemukakan laporan kepada penyumbang bagi setiap program kemasyarakatan dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 7:39 PM