Nur Izzati Mohamad


PERKENALAN dengan wanita dalam laman sosial Facebook (FB) mengundang padah buat lelaki warga emas apabila kerugian RM14,100 selepas terpedaya dengan janji manis wanita itu yang sebenarnya sindiket parcel scam.

Dalam kejadian Isnin minggu lalu, mangsa berusia 67 tahun dari Kepala Batas berkenalan dengan wanita yang menggunakan nama ‘Silver Vuyana’.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sepanjang perkenalan mereka, wanita berkenaan menyatakan hasrat menghantar hadiah kepada lelaki itu.

“Mangsa yang terpedaya bersetuju menerima hadiah itu dan dua hari selepas berkenalan suspek memberitahu dia sudah menghantar bungkusan mengandungi jam tangan, telefon pintar iPhone, komputer riba dan wang tunai 20,000 dolar Amerika Syarikat (USD).

“Mangsa kemudian menerima panggilan telefon daripada syarikat kurier menyatakan ada satu bungkusan yang dikirim kepadanya tetapi dia perlu membuat pembayaran duti import dan caj penghantaran terlebih dulu,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa kemudian teringatkan janji wanita dikenali melalui FB itu dan tanpa mengesyaki apa-apa dia membuat bayaran RM14,100 melalui tiga kali transaksi di mesin deposit tunai sebuah bank di Raja Uda Selasa lalu.

“Bagaimanapun, mangsa akhirnya sedar dia ditipu apabila hingga kini tidak menerima bungkusan berkenaan.

“Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 3:55 PM