BAS elektrik pertama di Kuching akan beroperasi 1 Mac. FOTO Melvin Joni
BAS elektrik pertama di Kuching akan beroperasi 1 Mac. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


SEJARAH baharu sistem pengangkutan di bandar raya ini bakal tercipta Jumaat ini dengan bermulanya operasi bas elektrik yang pertama di negeri ini.

Sejajar dengan detik bersejarah itu, pengendali bas berkenaan menawarkan perkhidmatan percuma kepada orang ramai termasuk pelancong di bandar raya ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tawaran tambang percuma itu akan berlanjutan selama tiga bulan.

“Sebagai permulaan, kita menggunakan sebuah bas dahulu dan sesiapa sahaja boleh menaikinya secara percuma sama ada orang tempatan atau pelancong,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Upacara Pelepasan Bas Elektrik CRRC di Kompleks Mahkamah Lama, Kuching.

Turut hadir Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr. Jerip Susil; Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU); Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk James Chan serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Salleh Askor.

Abdul Karim berkata, jadual perjalanan bas elektrik itu bermula 7 pagi dari perhentian utama di ‘Open Air Market’ dan akan berhenti di setiap 25 perhentian yang ditetapkan di sepanjang laluan sehingga 6 petang.

Perhentian terbabit adalah kawasan Jambatan Darul Hana, Muzium Sejarah Cina, Tebingan Kuching, Jalan Abell, Padungan, Ang Cheng Ho, MBKS, iCom Square, Jalan Pending, Taman Rekreasi MBKS, SJK(S) Chung Hua No.3, Jalan Central Timur, Jalan Ban Hock dan The Hills.

Selain itu, Hotel Riverside Majestic, Main Bazaar, Pejabat Pos Besar Kuching, Muzium Sarawak, Wisma Satok @ Jalan Satok, Pusat Komersial Al-Idrus, Wisma ASSAR, Jambatan Satok, Jalan Kulas dan Jalan Haji Taha.

“Laluan yang dikenal pasti untuk perjalanan bas ini sangat menarik, yang merangkumi seluruh kawasan warisan di bandaraya Kuching sehingga ke iCom Square dan Satok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan HENZ Pacific Sdn Bhd selaku pengendali operasi bas elektrik berkenaan, Henry Lai berkata, bas itu menawarkan perkhidmatan mesra penumpang kerana turut menyediakan ruang untuk kerusi roda untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Lebih menarik, katanya penumpang boleh menikmati perkhidmatan wifi percuma tanpa had termasuk mempunyai sistem kawasan kandungan penyiaran, dilengkapi lima kamera litar tertutup (CCTV); video kiraan penumpang serta Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) bagi membolehkan orang ramai mengesan kedudukannya.

“Untuk mendapatkan perkhidmatan bas ini, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Kuching Metro yang kini boleh didapati di IOS dan Android,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 12:23 PM