SHEIKH Umar (kiri) bersama Pengurus Kanan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB), Ungku Alif (kanan) dan Mohd Rashidi.  FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
SHEIKH Umar (kiri) bersama Pengurus Kanan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB), Ungku Alif (kanan) dan Mohd Rashidi. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


FESTIVAL Islam dan Halal Antarabangsa Johor Darul Ta’zim (FIJO) 2019 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA), Johor Bahru Mac ini turut disertai 15 peratus pempamer luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, antara pempamer itu membabitkan usahawan produk berasaskan halal dari Singapura, Turki, Thailand, Indonesia, Syria dan United Kingdom (UK).

“FIJO 2019 akan membabitkan 362 pempamer produk berasaskan halal yang sekali gus memberi manfaat besar kepada semua pihak. Kita turut menerima maklum balas dari Singapura, Turki, Thailand, Indonesia, Syria dan United Kingdom (UK) yang sudah mengesahkan akan bersama kita dalam festival ini.

“Kita masih menunggu jawapan dari Taiwan, Jepun, Korea, Timur Tengah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar, dengan maklum balas positif dari negara besar ini kami berharap menjadi daya tarikan kepada pengunjung dan pelabur yang hadir ke festival ini,” katanya pada sidang media mengenai FIJO 2019 di Pusat Pembangunan Usahawan Johor.

Turut hadir, Pengurus Kanan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB), Ungku Alif Ungku Farouk dan Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Advertising Sdn Bhd, Mohd Rashidi Johari.

FIJO 2019 yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 28 hingga 31 Mac ini akan mempamerkan pelbagai produk berasaskan halal antaranya produk makanan, kosmetik, fesyen, pakaian, hiasan dan produk farmaseutikal.

Dengan kemasukan percuma, pengunjung yang hadir bukan sahaja boleh ke gerai jualan dan pameran, tetapi turut disediakan pelbagai program menarik berkaitan usahawan, halal dan Islamik.

Sheikh Umar berkata, pihaknya mensasarkan seramai 100,000 pengunjung ke festival julung kali diadakan itu, bukan sahaja orang ramai tetapi usahawan baharu untuk mencari peluang dan menambah kemahiran dalam bidang berkenaan.

Katanya, FIJO 2019 dijadikan sebagai titik pertemuan bagi pengeluaran produk halal antarabangsa serta membekalkan perkhidmatan daripada pelbagai sektor.

“Diharapkan daripada festival ini, ia memberi peluang yang besar kepada ekonomi supaya produk halal khususnya dapat dikomersialkan ke peringkat global sekali gus mampu menyumbang kepada sektor ekonomi negeri.

“Ia juga diharap dapat memberi impak positif dan memacu perkembangan ekonomi di negeri Johor khususnya industri berasaskan produk halal dalam merancakkan aktiviti keusahawanan,” katanya yang berharap festival itu menjadi acara tahunan di negeri ini.

Usahawan yang berminat menyertai FIJO 2019 boleh menghubungi talian 03-41415500 atau 018-9858500 untuk mendaftar sebagai pempamer sehingga 15 Mac ini atau melayari laman web rasmi www.festivalislamjohor.com untuk sebarang maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 11:31 AM