Mohamad Roszaimi (gambar kecil) maut dalam kemalangan di hadapan Balai Polis Batu Kikir. FOTO AMRAN YAHYA.
Mohamad Roszaimi (gambar kecil) maut dalam kemalangan di hadapan Balai Polis Batu Kikir. FOTO AMRAN YAHYA.
Amran Yahya


SEORANG anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan di Kilometer 14 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, persimpangan Balai Polis Batu Kikir, Jempol, hari ini.

Dalam kejadian 5.20 petang, mangsa Mohamad Roszaimi Rahim, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala.

Mangsa menunggang motosikal SYM VS135 dipercayai dari rumahnya di Gugusan Raja Alias 2 di sini, menghala ke Kuala Pilah sebelum bergesel dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.

Pemandu Proton Exora, Effendy Daraman, 44, berkata ketika kejadian dia bersama isteri serta dua anak dari rumah di Taman Kristal menuju ke Pekan Batu Kikir untuk membeli barangan dapur.

“Ketika di simpang tiga lampu isyarat, saya memberhentikan kenderaan di kanan jalan untuk membelok masuk ke simpang kanan.

“Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, saya terus membelok dan pada masa sama motosikal dari arah belakang memotong kenderaan saya di sebelah kanan menyebabkan berlaku pergeselan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia serta-merta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 10:15 PM