Pemilik kilang menunjukkan poster bantahan di hadapan laluan masuk ke tapak pembuangan sampah haram Kota Puteri, Masai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Pemilik kilang menunjukkan poster bantahan di hadapan laluan masuk ke tapak pembuangan sampah haram Kota Puteri, Masai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


BERBEKALKAN walkie-talkie, sindiket pembuangan sampah dikesan menjadikan tanah milik persendirian di Kota Puteri, Johor Bahru sebagai lubuk rezeki hingga meraih pendapatan mencecah RM60,000 sebulan.

Kegiatan yang berlarutan sejak dua tahun itu terbongkar susulan aduan penduduk tempatan dan pengusaha kilang kepada Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) serta Pejabat Menteri Besar Johor mengenai aktiviti pembuangan sampah haram di tapak seluas 12 hektar.

Bagi memudahkan urusan keluar masuk, penjaga tapak diupah RM10 bagi setiap urusan pembuangan sampah dan membantu melicinkan proses pembuangan termasuk sisa pepejal dan makanan kediaman, sisa industri dan pembinaan di kawasan berhampiran.

Tinjauan mendapati, tanah persendirian itu dipenuhi lautan sampah hasil aktiviti pembuangan sisa sampah haram dengan lebih 30 lori berulang alik setiap hari.

Selain menjadi pusat longgokan sampah, barangan kitar semula turut dijadikan sumber pendapatan tambahan kepada pekerja di kawasan berkenaan yang sentiasa menunggu lori tiba.

Difahamkan dua laporan polis sudah dibuat pemilik tanah, selain memasang penghalang di laluan masuk kawasan itu, namun tindakan itu masih gagal menakutkan sindiket berkenaan.

Ahli Majlis Permas Jaya, Dannny Tan Peng Chye berkata, isu membabitkan tapak sampah haram di tanah persendirian itu terbongkar hasil aduan awam sejak seminggu lalu.

“Tinjauan kemudian dilakukan bersama pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap aktiviti haram yang mencemarkan alam sekitar.

“Isu ini dipandang serius kerana ia bukan saja membahayakan kesihatan awam malah membabitkan pencerobohan tanah persendirian,” katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan di tapak itu hari ini.

Hadir sama Pegawai Khas Pejabat Menteri Besar Johor (Bahagian Aduan), Syed Othman Syed Ali.

Syed Othman (tengah) bersama Tan Peng Chye (kanan) melihat sampah yang dibuang di tapak pembuangan sampah haram di Kota Puteri, Masai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syed Othman (tengah) bersama Tan Peng Chye (kanan) melihat sampah yang dibuang di tapak pembuangan sampah haram di Kota Puteri, Masai. FOTO Hairul Anuar Rahim

Danny berkata, sindiket memanipulasi tanah milik persendirian dengan mengaut keuntungan mudah dari bayaran dikenakan terhadap setiap lori yang membuang sampah.

“Siasatan mendapati setiap lori dikenakan bayaran RM50 bagi sekali masuk dan sekurang-kurangnya 30 lori seberat satu tan memasuki kawasan itu setiap hari.

“Penjaga tapak pelupusan sampah pula dibayar RM10 sebagai upah menyelia kawasan itu hingga memudahkan urusan pembuangan sampah dilakukan pemilik lori,” katanya.

Menurutnya, lokasi pembuangan sampah itu antara 35 kawasan panas dikenalpasti SWCorp.

“Hasil siasatan, sampah yang dibawa datang dari luar kawasan lain termasuk Skudai, Pulai dan Kulai dan dibuang di tapak pelupusan haram seluas 12 hektar itu,” katanya.

Sementara itu, Syed Othman berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan sudah memaklumkannya ke Pejabat Menteri Besar Johor, dua hari lalu.

“Susulan aduan itu, tinjauan ke lokasi dilakukan dan mendapati tanah berkeluasan 12 hektar dijadikan tempat pelupusan sampah haram yang beroperasi secara 24 jam.

“Tinjauan juga mendapati terdapat antara 20 hingga 30 lori satu tan masuk ke tapak itu sehari, bahkan walkie-talkie digunakan bagi melicinkan pergerakan sampah sarap,” katanya.

Menurutnya, masalah itu dirujuk kepada JAS dan MBJB yang akan menjalankan siasatan dan melakukan penguatkuasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 2:44 PM