LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Noor Atiqah Sulaiman


PROGRAM Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) diperkenalkan November tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan namun, jumlah kutipan hasil yang disasarkan sebanyak RM10 bilion itu belum dicapai.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, walaupun sudah hampir empat bulan dilaksanakan tetapi jumlah kutipan direkodkan tidak sampai separuh dari sasaran.

Katanya, program yang dilaksanakan sehingga Jun itu adalah peluang keemasan untuk individu terbabit 'membersihkan buku lama' mereka sebelum tindakan lebih agresif akan dikenakan.

“Sekarang sudah masuk bulan Februari, lagi beberapa bulan saja lagi program ini akan berakhir.

“Kadangkala individu yang terbabit ini lebih suka sikap tunggu dan lihat, mereka sering tunggu sehingga saat akhir baru mahu tampil kepada pihak LHDN.

“Jika datang pada saat akhir, ia akan menyusahkan kedua belah pihak, tempoh untuk LHDN membuat pembayaran balik pun agak singkat,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Bersama Media Pengiklanan Korporat LHDN di Cyberjaya, hari ini.

Mohd Nizom berkata, tempoh sehingga Jun itu bukan sahaja untuk individu itu melaporkan, tetapi turut merangkumi pembayaran daripada LHDN kepada mereka.

“Ini termasuk kepada 'instafamous' (golongan selebriti Internet) yang menjana pendapatan melalui laman sosial.

“Nasihat kami, tampil ke depan dan lapor. Jangan cuba bersembunyi kerana kami boleh menjejaki mereka.

“Datang dan lapor jika ada yang sebelum ini terlupa untuk isytihar, kami terima tanpa prejudis,” katanya.

Sebelum ini, LHDN menghantar lebih lapan juta surat dan emel kepada pembayar cukai mengenai program berkenaan, penerima surat terbabit perlulah tampil untuk membuat semakan terhadap rekod percukaian mereka serta mengisytiharkan pendapatan atau perbelanjaan yang benar bagi melayakkan mereka menikmati pengenaan kadar penalti yang rendah.

Beliau berkata, individu yang tampil sebelum 31 Mac ini, kadar penalti dikenakan sebanyak 10 peratus, bagi yang hadir dari April hingga Jun ini pula penalti dikenakan ke atas mereka adalah sebanyak 15 peratus.

“Sementara individu yang tampil selepas program berkenaan berakhir iaitu pada Julai ini, mereka akan dikenakan penalti paling minimum sebanyak 80 peratus atau sehingga had maksimum ditetapkan kerajaan sebanyak 300 peratus,” katanya.

Katanya, dalam dunia teknologi tinggi ketika ini dan kerjasama pertukaran maklumat dengan pelbagai agensi termasuk dengan pihak berkuasa cukai antarabangsa, LHDN memiliki kemampuan untuk mengesan kegagalan pembayar cukai membuat pengisytiharan pendapatan yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 9:11 PM