Mohd Husni Mohd Noor


INSTITUSI atau sekolah tahfiz swasta berdaftar perlu mematuhi 10 kriteria ditetapkan sebelum layak memohon, seterusnya menerima dana bantuan keseluruhan RM50 juta yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2019.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada sidang media selepas majlis penyerahan dana daripada Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

Mujahid berkata, antara kriteria ditetapkan termasuk institusi tahfiz berkenaan perlu menjalankan pengajian secara formal (pagi hingga petang) dan melaksanakan Kurikulum Kebangsaan dan Kurikulum Agama; berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri; pemilik institusi warga negara; menggunakan Bahasa Melayu dan Arab sebagai bahasa pengantar serta penama akaun institusi bukan penama individu.

Selain itu, katanya, institusi juga hendaklah beroperasi pada tahun semasa; maklumat institusi sudah direkod dalam Sistem Maklumat Pendidikan Islam kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); mesti mempunyai lebih 15 pelajar; melaksanakan kurikulum kebangsaan dan kurikulum agama negeri serta institusi berkenaan perlu dicadangkan oleh pihak pengurusan tertinggi JAKIM.

“Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada 815 tahfiz swasta berdaftar yang bakal memberi manfaat kepada 47,474 pelajar.

“Peruntukan berkenaan dikhaskan untuk keselamatan, selenggara atau naik taraf bangunan dan infrastruktur asas; alat bantu mengajar; perabot dan sistem pengurusan institusi,” katanya.

Katanya, jumlah permohonan bagi sesebuah institusi pula tidak melebihi RM250,000 dan permohonan yang tidak lengkap atau di luar skop projek tidak akan dipertimbangkan.

Mujahid berkata, permohonan bagi dana bantuan akan mula dibuka mulai Mac ini dan pihaknya menjangkakan agihan peruntukan berkenaan akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya Oktober depan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga menyediakan peruntukan sebanyak RM11.8 juta bagi menarik institusi tahfiz yang tidak berdaftar supaya mendaftarkan diri selain memberi latihan kepada guru tahfiz.

Dalam pada itu, katanya, beliau mengakui perkembangan institusi tahfiz di negara ini namun, akan memantau perkembangan itu supaya ia tidak menjadi tapak untuk aktiviti-aktiviti fahaman radikal.

Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sidang media sama berkata, kerajaan komited memberi bantuan kepada semua jenis sekolah secara inklusif supaya kebajikan dan hal ehwal pelajar terus terpelihara.

Menurutnya, kerajaan akan menyalurkan dana kepada sekolah tahfiz dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik selaras matlamat kerajaan untuk memisahkan pendidikan dari pengaruh parti politik.

“Biarpun berdepan dengan kewangan yang mencabar, kerajaan akan berusaha memberi bantuan kepada semua jenis sekolah dan institusi pendidikan berdaftar mengikut kemampuan semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 5:40 PM
GUAN Eng (tiga dari kiri) ketika menyerahkan cek kepada Mujahid disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
GUAN Eng (tiga dari kiri) ketika menyerahkan cek kepada Mujahid disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor