POLIS Thailand memeriksa lokasi rakyat Malaysia maut ditembak manakala rakannya cedera ditembak di bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, Sungai Golok. FOTO ihsan Polis Thailand
POLIS Thailand memeriksa lokasi rakyat Malaysia maut ditembak manakala rakannya cedera ditembak di bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, Sungai Golok. FOTO ihsan Polis Thailand
Muhamaad Razis Ismail


POLIS Kelantan mengesahkan seorang daripada mangsa rakyat Malaysia yang maut ditembak di Sungai Golok, Thailand, malam tadi memiliki beberapa rekod jenayah harta benda.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mangsa berusia 54 tahun berasal dari Kota Bharu.

“Berdasarkan semakan yang dibuat, mangsa memiliki beberapa rekod jenayah di negara ini selain kesalahan trafik.

“Untuk yang selebihnya kita serahkan kepada Polis Sungai Golok untuk jalankan siasatan kerana kejadian berlaku di sana,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Harian Metro melaporkan seorang rakyat Malaysia maut manakala rakannya cedera ditembak di bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, daerah Sungai Golok, Selatan Thailand, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa yang maut berusia 54 tahun yang berasal dari Kampung Jalan Atas Paloh, Kota Bharu.

Manakala, rakannya yang cedera, ditempatkan di Hospital Sungai Golok.

Difahamkan, kedua-dua mangsa ditembak dua individu bermotosikal yang tidak dikenali ketika berada di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, setakat ini maklumat lanjut berhubung kejadian itu masih belum diperoleh daripada Polis Thailand.

“Proses bedah siasat dijalankan di sana sebelum jenazah dijangka dibawa pulang hari ini untuk dikebumikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 1:44 PM