PASUKAN polis Thailand memeriksa lokasi seorang rakyat Malaysia maut manakala rakannya cedera ditembak di bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, daerah Sungai Golok, Selatan Thailand, malam tadi. FOTO Ihsan Polis Thailand
PASUKAN polis Thailand memeriksa lokasi seorang rakyat Malaysia maut manakala rakannya cedera ditembak di bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, daerah Sungai Golok, Selatan Thailand, malam tadi. FOTO Ihsan Polis Thailand
Muhamaad Razis Ismail


SEORANG rakyat Malaysia maut, manakala rakannya cedera ditembak di bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, daerah Sungai Golok, Selatan Thailand, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Sulaimi Mat Ali, 54, berasal dari Kampung Jalan Atas Paloh, Kota Bharu.

Manakala, rakannya yang cedera dikenali sebagai Muhammad Shahrul Aiman Mohd Abdul Aziz, 18, berasal dari jalan Masjid, Kota Bharu, ditempatkan di Hospital Sungai Golok.

Difahamkan, kedua-dua mangsa ditembak dua individu bermotosikal yang tidak dikenali ketika berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Balai Sungai Golok, Superintendan Supakon Pungros berkata, seorang daripada mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital dan akan dibawa pulang ke kediamannya, hari ini.

“Seorang lagi mangsa masih di rawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil. Siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian masih dijalankan

“Kita juga sedang mengesan individu yang mendalangi kejadian itu dan jumlah suspek sebenar yang terbabit serta motif,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:47 AM