BERNAMA

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mendidik dan melatih imam serta pemimpin komuniti dalam usaha memerangi dadah di kawasan berisiko tinggi di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kumpulan itu akan diberikan bimbingan antaranya cara mengenalpasti mereka yang terbabit dengan aktiviti itu menerusi kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH).

“Usaha perangi aktiviti penyalahgunaan dadah tidak boleh dilaksanakan pihak berkuasa saja, pemimpin dalam komuniti perlu memainkan peranan.

“Kita (AADK) akan bagi ilmu kepada tok imam selain ibu bapa yang anaknya terbabit dadah juga perlu mengikuti sesi kaunseling,” katanya hari ini.

AADK sebelum ini berkata, penempatan FELDA, Program Perumahan Rakyat dan perkampungan nelayan antara 178 kawasan berisiko tinggi aktiviti dadah di seluruh negara.

Zulkifli berkata, kebanyakan individu berusia 19 hingga 39 tahun yang terbabit aktiviti dadah adalah mereka yang tiada pekerjaan tetap serta penganggur.

“Ada yang terjebak disebabkan ajakan kawan-kawan, tekanan serta ada dilaporkan penuntut universiti menggunakan dadah berjaga malam untuk belajar,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, pihaknya sedang merangka modul program pendidikan serta pencegahan yang baru untuk digunakan di negara ini.

“Modul yang lama tidak boleh digunakan lagi dan sekarang kita (AADK) sedang melihat modul (pencegahan) dari negara luar untuk disesuaikan dengan negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:04 AM