Remaja ditahan selepas melakukan aksi berbahaya. FOTO Ihsan Polis
Remaja ditahan selepas melakukan aksi berbahaya. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN remaja lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan aksi wheelie mengundang padah apabila ditahan polis di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang menjalankan Ops Samseng Jalanan di kawasan itu melihat motosikal Honda EX5 ditunggang remaja berusia 17 tahun dalam keadaan berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, remaja terbabit melakukan aksi wheelie empat kali sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, selepas melakukan aksi itu, remaja terbabit berhenti di bahu jalan sebelum ditahan polis.

“Remaja itu dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 1:13 PM