MOHD Azman menunggang motosikal untuk membiasakan diri dengan kaki palsu. FOTO Nazri Abu Bakar
MOHD Azman menunggang motosikal untuk membiasakan diri dengan kaki palsu. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

[email protected].

STATUS orang kurang upaya (OKU) bukan halangan buat Mohd Azman Salim, 53, untuk bergiat aktif berkhidmat dan menghulurkan bantuan kepada rakan senasib.

Dia yang kehilangan kaki kanan sehingga bawah paras lutut akibat penyakit diabetes dihidapinya, kini terpaksa menggunakan kaki palsu.

Walaupun begitu, keadaan itu sedikitpun tidak menghalangnya untuk bergerak mengenal pasti komuniti masyarakat yang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

Bagi Mohd Azman, kepercayaan yang diberikan dan turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lorong Pandan sejak Oktober tahun lalu berkata, jawatan yang diberikan itu adalah amanah dan kepercayaan yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Menyedari diri serba kekurangan serta pernah melalui pahit getir dan tidak memiliki pekerjaan sehinggalah bergelar insan OKU sudah pasti saya amat memahami nasib golongan memerlukan.

“Berikutan itu, sebaik mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan saya segera akan memaklumkan pihak yang bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Limbongan Permai, di Melaka, semalam.

Menceritakan rutinnya yang membantu golongan OKU sepertinya itu, Mohd Azman berkata, dia akan menunggang motosikal di sekitar tempat tinggalnya sehingga Pandan Jaya, bagi memastikan tiada yang terpinggir daripada menerima bantuan.

Katanya lagi, kekuatan dan semangat dimilikinya itu adalah atas sokongan isteri tercinta Juriah Bidin, 44, yang tidak jemu menolongnya untuk bangkit semula selepas kehilangan kaki.

“Kini saya tidak lagi perlu menangisi nasib yang menimpa sebaliknya dapat tersenyum bangga kerana dapat mencurah bakti kepada masyarakat.

“Malah, status OKU yang dipegang bukan halangan untuk saya bergerak aktif dan membantu mereka yang memerlukan termasuk insan normal yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:23 PM