TOYOTA Hilux mangsa kemalangan di Jalan Kuala Klawang - Simpang  Pertang berhampiran Kampung Petasih. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
TOYOTA Hilux mangsa kemalangan di Jalan Kuala Klawang - Simpang Pertang berhampiran Kampung Petasih. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


PERSIAPAN sambutan Tahun Baharu Cina 2019 bertukar tragedi bagi tiga sekeluarga apabila mereka terbabit kemalangan di Kilometer 46.5, Jalan Kuala Klawang-Simpang Pertang, berhampiran Kampung Petasih, Jelebu, hari ini.

Pada kejadian 9.55 pagi itu, tiga sekeluarga terbabit dipercayai pulang dari pasar berdekatan sebelum pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu terbabas memasuki longkang.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Simpang Pertang, Irwan Hairul Shah Abdul Hamid berkata, kemalangan menyebabkan pemandu lelaki, Teng Man Hin, 56 parah akibat tercampak keluar kenderaan manakala dua yang lain tercedera.

Katanya, pihaknya yang menerima panggilan kejadian pada 9.58 pagi mengerahkan lapan anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota mendapati pemandunya sudah tercampak keluar, manakala dua lagi mangsa, Wong Ngut Loy, 57 dan Teng Siao Tian berusia lima tahun cedera dalam kenderaan,” katanya.

Menurut Irwan Hairul, pihaknya turut menemui beberapa barangan termasuk daging khinzir yang dibeli untuk sambutan Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi.

Katanya, semua mangsa diselamatkan lalu dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Jelebu, di sini.

“Siasatan awal mendapati tiga mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan dalam perjalanan dari Kuala Klawang menuju ke Simpang Pertang.

“Sebaik melalui selekoh, kenderaan ini hilang kawalan lalu terbabas memasuki longkang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 2:20 PM