LAPORAN akhbar Harian Metro, hari ini.
LAPORAN akhbar Harian Metro, hari ini.
Zuhainy Zulkiffli


KERAJAAN negeri Pulau Pinang akan mengkaji semula kuasa bagi mengambil tindakan kepada pihak terbabit dalam isu pencerobohan tanah paya bakau di Batu Maung, Bayan Lepas yang dijadikan kawasan pembuangan sisa industri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Halim Hussain, berkata tindakan bukan sahaja boleh diambil terhadap pemilik tanah, malah kepada kontraktor, pembekal sampah dan pemandu lori yang mengangkut sisa buangan terbabit.

Katanya, pihaknya sudah berbincang dengan beberapa agensi termasuk Sahabat Alam Sekitar (SAM) dan Jabatan Perikanan Pulau Pinang bagi mengambil tindakan lanjut berhubung kes itu.

“Perkara ini sudah lama berlaku dan tiba masanya untuk menghentikan pencerobohan, maka kita perlukan gambar serta beberapa bukti sebelum tindakan diambil.

“Kita sudah beri amaran dan terpulang kepada mereka untuk mengawasi tempat terbabit, sama ada mahu meletakkan kamera litar tertutup, memagar atau meletakkan papan tanda,” katanya pada sidang media, hari ini.

Semalam, SAM mendedahkan, kawasan tanah paya bakau seluas hampir satu hektar di Batu Maung yang dikenal pasti milik Jabatan Perikanan Malaysia itu diceroboh sejak beberapa tahun lalu.

Hasil pemantauan SAM selanjutnya mendapati kawasan hutan paya bakau itu terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi sebuah lagi kawasan hutan paya bakau yang ditambak secara haram, yang pernah didedahkan Disember lalu.

Abdul Halim berkata, Jabatan Perikanan negeri akan memagar kawasan itu supaya tidak lagi menjadi tempat pembuangan sampah selain meletakkan kakitangan sebagai pemantau.

Katanya, kilang terbabit perlu bertanggungjawab terhadap undang-undang yang membabitkan alam sekitar.

“Walaupun sudah ada tapak pelupusan di Sungai Burung, ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan membuang sampah di situ.

“Kerajaan negeri menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dengan membuat laporan sekiranya melihat aktiviti mencurigakan,” katanya.

Berita berkaitan

’Tolong pantau! [METROTV]’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 7:44 PM