Treler tanpa muatan yang menggilis dan mengheret Muhammad Zulkairul Azhar (gambar kecil) di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Treler tanpa muatan yang menggilis dan mengheret Muhammad Zulkairul Azhar (gambar kecil) di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PEMBONCENG motosikal, Muhammad Zulkairul Azhar Mohd Nawi, 23, maut diseret treler dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, malam tadi.

Dalam kejadian 10.44 malam itu, lelaki berasal dari Kampung Batu 6, Jalan KTM Renok terbabit mati di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan tangan kanan.

Penunggang motosikal Hafizul Akmal Anuar, 26, dan pemandu treler, Bahari Yusof, 51, hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika Muhammad Zulkairul yang membonceng motosikal Honda EX-5 dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan penunggang motosikal bersama mangsa tercampak ke laluan bertentangan.

Secara kebetulan, katanya, sebuah treler tanpa muatan dari arah Kuala Krai ke Gua Musang tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat dengan mangsa yang terjatuh di atas jalan.

“Berikutan itu, mangsa digilis tayar belakang treler berkenaan hingga diseret sejauh 146 meter menyebabkan dia maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Taufik berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk pengebumian pagi hari ini.

Katanya, penunggang motosikal dan pemandu treler juga dihantar ke HGM untuk pemeriksaan kesihatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 2:58 PM