X
BERNAMA

BAYARAN pembiayaan pinjaman kepada usahawan Selangor di bawah skim mikro kredit Hijrah Selangor yang sebelum ini menghadapi masalah kelewatan, sudah selesai sepenuhnya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, bayaran pembiayaan itu berdepan kelewatan berikutan jumlah pemohon yang mendaftar di bawah program skim mikro kredit berkenaan meningkat.

“Kelewatan bayaran pembiayaan pinjaman ini sebenarnya tidak disengajakan, masalah yang menimbulkan pelbagai salah sangka itu sebenarnya berpunca daripada peningkatan jumlah pemohon yang memohon pinjaman ini.

“Oleh kerana sambutan yang memberangsangkan ini, kita terpaksa atur semula agihan pembiayaan pinjaman ini sehingga masuk tahun baharu 2019,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Koperasi Warga Hijrah dan Majlis Penyerahan Pembiayaan Pinjaman Skim Hijrah Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, kesemua pemohon program skim mikro kredit yang terbabit dalam isu kelewatan itu sudah menerima pembiayaan pinjaman masing-masing hari ini.

Pada 7 Januari lalu, kira-kira 15 individu mewakili 107 usahawan Melayu cawangan Petaling Jaya Utara, menggesa kerajaan Selangor menyegerakan pembayaran pinjaman Hijrah Selangor.

Wakil mereka yang juga Presiden Usahawan Kuala Lumpur, Shazlan Bashar dilaporkan berkata, kegagalan mengaturkan bayaran pinjaman itu berlaku selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei tahun lalu, walaupun pinjaman mereka sudah diluluskan.

Susulan itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman memberi jaminan perkara itu akan diselesaikan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 9:51 PM
AMIRUDIN (tengah) beramah mesra dengan peniaga. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
AMIRUDIN (tengah) beramah mesra dengan peniaga. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria