FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengarah Operasi, Bahagian Cukai Dalam Negeri Zon Tengah, JKDM Datuk Ahmad Maher Abd Jalil berkata, kebanyakan peniaga yang terbabit dalam aktiviti itu adalah syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

”Mereka (peniaga) ini akan menghantar penyata (palsu) kepada pihak kastam bagi membolehkan bayaran balik GST dibuat kepada mereka.

“Kami akan kesan pemilik syarikat serta dalang yang terbabit (dalam kegiatan ini),” katanya kepada pemberita ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di Kuala Lumpur malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini lebih berhati-hati dalam melaksanakan proses bayaran balik cukai GST kepada peniaga.

“Pihak kami sudah laksanakan dua ketetapan iaitu mengadakan lawatan ke syarikat yang membuat tuntutan bagi memastikan syarikat itu wujud.

“Selain itu, bagi tuntutan yang jumlahnya besar iaitu jutaan ringgit, syarikat mereka akan diaudit terlebih dahulu” katanya.

Ahmad Maher berkata, ketetapan baharu yang lebih ketat berhubung proses bayaran balik GST itu dibuat bagi mengelak ketirisan.

Dalam pada itu, beliau berkata, fokus utama JKDM pada tahun ini adalah membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras.

“Pelaksanaan hukuman lebih tinggi terhadap penyeludup rokok diharap dapat memberi kesedaran kepada penjual atau penyeludup untuk tidak melakukan aktiviti itu lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 12:18 PM