PASUKAN Polis Marin melakukan operasi mencari kereta yang dipercayai kenderaan SUV putih terjatuh ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan Toyota Vios di kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
PASUKAN Polis Marin melakukan operasi mencari kereta yang dipercayai kenderaan SUV putih terjatuh ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan Toyota Vios di kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hassan


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi sudah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) putih yang terjunam ke dalam laut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai, semalam.

Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, aset-aset APMM, polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengesan mangsa.

Menurutnya, antara aset yang digunakan termasuk bot kilat Maritim Perak bersama 14 penyelam termasuk Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.

“Pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Duyong seramai sembilan orang dan Bot CN 001 dibantu Pasukan Simpanan Sukarela TLDM KD Perantau dari Pangkalan TLDM Lumut turut membantu dalam operasi ini.

“Turut terbabit ialah aset Pasukan Polis Marin iaitu Bot RH dan Bot ZABRI 1, manakala JBPM menghantar dua bot aluminium,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi disambung seawal 7 pagi dan semua agensi yang terbabit diberi taklimat di Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban, sebelum operasi carilamat diteruskan.

“Sektor pencarian dibahagikan kepada empat sektor dengan kawasan pencarian merangkumi 2 batu nautika radius dari lokasi kejadian.

“Orang awam diminta membuat laporan jika menemui sebarang objek di sekitar kawasan berkenaan di talian24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

Dalam kejadian 2.45 pagi semalam, dua kenderaan masing-masing Toyota Vios hitam dan SUV putih terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai.

Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pendandan rambut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala SUV putih itu pula berpusing beberapa kali sebelum terjunam dalam laut.

Identiti pemandu SUV itu dikenalpasti sebagai Moey Yun Peng, 20, selepas bapanya membuat laporan polis 5 petang, semalam kerana anaknya yang juga penuntut kolej swasta itu masih tidak pulang.

Laporan itu juga dibuat berdasarkan maklumat daripada dua rakan anaknya yang mendakwa mangsa dalam perjalanan selepas menyambut parti hari jadi di Georgetown.

Selain itu, seorang saksi bebas turut memberikan maklumat dengan berkongsi rakaman video ‘dashcam’ yang memaparkan insiden berkenaan.

Berita berkaitan

Vios, SUV dipandu laju - Polis

[UPDATE] Terus kesan SUV putih tercampak ke laut [METROTV]

'Kereta tercampak ke dalam laut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:05 AM