THALIA Rohana Abd Latiff (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kangar bagi mewakili anak guamnya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja bawah umur pada 20 Oktober lalu. FOTO Amran Hamid
THALIA Rohana Abd Latiff (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kangar bagi mewakili anak guamnya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja bawah umur pada 20 Oktober lalu. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini, gagal hadir bagi sebutan semula kes cabul gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen Kangar.

Keadaan itu menyebabkan Hakim Ainul Shahrin Ahma terpaksa menetapkan 18 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen perbicaraan berkenaan.

Terdahulu peguam bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Thalia Rohana Abd Latiff memaklumkan, anak guamnya kini sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami masalah kesihatan membabitkan saraf.

Selain Thalia, tertuduh yang juga Ahli Parlimen Arau berusia 67 tahun diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakwan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Pada prosiding yang sama juga, mahkamah menetapkan 25 Februari hadapan untuk pihak tertuduh membuat representasi bagi perbicaraan kes berkenaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail.

Sementara itu, peguam Mohd Hapiz Rajali yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi mangsa dalam perbicaraan ini berkata, keluarga mangsa berhasrat untuk tidak meneruskan prosiding kes ini.

Keputusan itu dibuat kerana mangsa berada dalam keadaan tertekan selain dia mahu sesi persekolahannya berjalan dengan tenang serta tidak mahu diganggu.

Pada 12 November tahun lalu, Shahidan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan mencabul gadis bawah umur.

Bersasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu remaja berusia 15 tahun di dalam kereta di tepi jalan di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, pada 11.30 malam, 20 Oktober tahun lalu.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih dari 10 tahun serta sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:35 PM