Shamsul Munir Safini


PENGURUS tadika dari Kepala Batas, Pulau Pinang kerugian RM7,900 selepas ditipu sindiket Macau Scam semalam.

Mangsa yang berusia 28 tahun menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memberitahu mangsa terbabit dengan kes penggubahan wang haram dan dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang bimbang kerana didakwa terbabit dengan jenayah itu mengikut arahan suspek dengan menyerahkan maklumat akaun bank kepadanya.

“Mangsa memberikan maklumat akaun dan kata laluan miliknya kepada suspek.

“Pada mulanya mangsa tidak mengesyaki sesuatu sehingga mendapati wang dalam akaunnya tiada,” katanya hari ini.

Menurutnya, mangsa cuba ditenangkan suspek yang kemudian memintanya datang ke balai polis berhampiran bagi proses pemulangan wang.

Katanya, mangsa datang ke balai polis dan diberitahu bahawa itu adalah panggilan palsu sindiket Macau Scam sebelum membuat laporan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 6:41 PM