Lelaki berusia 55 tahun dijumpai meninggal dunia terduduk di tepi pintu kereta di Jalan Kampung Keluap, Mukah. FOTO Manorza Saraev
Lelaki berusia 55 tahun dijumpai meninggal dunia terduduk di tepi pintu kereta di Jalan Kampung Keluap, Mukah. FOTO Manorza Saraev
Manorza Saraev


LELAKI berusia 55 tahun tidak sempat menghubungi isterinya untuk memaklumkan kesakitan ditanggungnya apabila ditemui meninggal dunia dalam keadaan terduduk di tepi pintu keretanya petang tadi.

Lebih menyayat hati mayat mangsa ditemui kira-kira jam 1.30 petang hari ini, dengan telefon bimbitnya masih dalam genggamannya.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Kampung Keluap, di Mukah selepas mayat mangsa ditemui orang awam sebelum menghubungi polis.

“Mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang saksi yang melalui jalan sama,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, pasukan perubatan dari Hospital Mukah kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia selepas pemeriksaan dilakukan di lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, mangsa ada mengadu sakit pada bahagian dadanya sejak dua minggu lalu. Bagaimanapun, mangsa enggan mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Jimmy berkata, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes kematian mengejut dan hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Mayat dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 8:09 PM