Mohd Fahmi Mohd Yusof

Johor Bahru: Kerajaan Singapura dijangka melaksanakan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang baharu bagi Lapangan Terbang Seletar, bermula hari ini.

Bagaimanapun, kerajaan republik itu sama ada menerusi Kementerian Luar, Pengangkutan atau Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelaksanaan.

Sebelum ini dalam satu notis dikeluarkan CAAS pada 1 Disember tahun lalu, prosedur perlaksanaan ILS bagi landasan 21 di Lapangan Terbang Seletar akan berkuat kuasa jam 12 tengah malam ini.

Terbaharu kelmarin, Singapura mencadangkan untuk bertemu dengan Malaysia bagi membincangkan pewujudan Kawasan Larangan kekal oleh Kuala Lumpur bagi tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang yang berkuat kuasa semalam.

MENARA kawalan Lapangan Terbang Seletar. FOTO Yahoo News Singapore
MENARA kawalan Lapangan Terbang Seletar. FOTO Yahoo News Singapore

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, Kawasan Larangan itu yang berada dalam lingkungan ruang udara terkawal dan sesak akan memberi impak kepada operasi sedia ada dan operasi biasa oleh pesawat yang melalui ruang udara terbabit.

“Kami membangkitkan kepada Malaysia tentang kebimbangan kami terhadap kesan buruk Kawasan Larangan ke atas penerbangan awam,” kata kementerian dalam kenyataan dikeluarkan susulan pertanyaan media mengenai pewujudan Kawasan Larangan oleh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 10:13 AM