MANGSA terbaring di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia selepas motosikalnya dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Jeniang-Gurun, Gurun, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
MANGSA terbaring di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia selepas motosikalnya dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Jeniang-Gurun, Gurun, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nor Farhani Che Ad


LELAKI warga emas maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Jalan Jeniang-Gurun, Gurun, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa, Mahmud Ahmad, 81, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami pada bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata ketika kejadian, mangsa yang keluar dari simpang pada mulanya nyaris dilanggar kereta Proton Persona dari arah Gurun menghala ke Jeniang, menyebabkan motosikal mangsa terbabas.

Katanya, pada masa sama terdapat kereta Perodua Myvi dari arah sama gagal mengelak dan melanggar motosikal mangsa yang berada di tengah jalan.

“Akibat jarak terlalu hampir, pemandu Perodua Myvi tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa sering menunggang motosikal walaupun dilarang warisnya.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dipercayai baru keluar kedai berdekatan lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 9:42 PM