MAS Ermieyati Samsudin. FOTO arkib NSTP
MAS Ermieyati Samsudin. FOTO arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TEKA-TEKI hala tuju Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin akhirnya terjawab apabila beliau sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), hari ini.

Bekas Ketua Puteri UMNO itu menyerahkan sendiri borang permohonan keahlian parti kepada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mas Ermieyati berkata, keputusan beliau untuk itu adalah kerana ingin mencari penyelesaian yang lebih berkesan dalam membela kepentingan terutama pengundi di parlimennya, Masjid Tanah.

“Insya-Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha BERSATU selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan wanita muda, di samping bersikap lebih terbuka dalam memperjuangkan nasib belia supaya mereka dapat merasai satu kehidupan yang lebih baik dan juga untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Masjid Tanah, Melaka dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, dari peringkat nasional sehingga ke akar umbi.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti kerana berkenan menerima penyertaan saya," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurut Mas Ermieyati lagi, beliau berharap Malaysia baharu akan mewujudkan budaya politik lebih matang, inklusif, di samping meletakkan tadbir urus dan integriti sebagai keutamaan.

Katanya, sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.

“Kepada Allah jua kita berserah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 12:48 PM