FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zanariah Abd Mutalib


KABINET bersetuju dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu, iaitu satu sistem perkhidmatan imigresen dalam talian sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem itu akan menggantikan Program Pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) dan sistem 'patch on' lain yang diguna pakai Jabatan Imigresen ketika ini.

Katanya, selaras dengan keputusan itu, Kabinet juga bersetuju untuk membatalkan pelaksanaan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion.

“Pembatalan ini dibuat atas faktor keperluan untuk membangunkan satu sistem baharu yang lebih komprehensif, cekap, mesra pengguna dan mempunyai nilai untuk wang serta menjimatkan dana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Imigresen 2018 dengan tema "Sayangi Malaysiaku - Kedaulatan dan Keselamatan Tanpa Kompromi" di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Muhyiddin berkata, pembangunan sistem baharu itu akan dilaksanakan secara tender terbuka dan proses perolehannya akan diberikan keutamaan oleh kerajaan dengan mengambil kira keperluan mendesak bagi menambah baik sistem Jabatan Imigresen.

“Saya berharap sistem ini dapat dibangunkan secepat mungkin agar mutu penyampaian perkhidmatan Jabatan Imigresen dapat ditingkatkan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 11:03 AM