TIMBALAN Sukarelawan Sahabat Prihatin Kedah, Rukiza Abu Bakar (kiri) dan Setiausahanya, Rohayati Ayob (kanan) melihat rekod kesihatan Muhamad Iqmal sambil diperhatikan Hamiza di Kampung Titi Serong, Yan. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
TIMBALAN Sukarelawan Sahabat Prihatin Kedah, Rukiza Abu Bakar (kiri) dan Setiausahanya, Rohayati Ayob (kanan) melihat rekod kesihatan Muhamad Iqmal sambil diperhatikan Hamiza di Kampung Titi Serong, Yan. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


“KEADAAN anak saya semakin lemah dan selera makannya kurang selepas sel kanser sudah merebak ke tahap empat,” kata Hamiza Abdul Rahman.

Hamiza, 42, adalah ibu kepada pesakit kanser darah limfoma, Muhammad Iqmal Mahazir, 18, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, Sungai Petani, yang kini terlantar sakit.

Remaja itu dikesan menghidap kanser pada April tahun lalu, selepas mengalami simptom demam berlarutan pada waktu malam dan bengkak kelenjar di bahagian leher.

Hamiza berkata, ketika itu anak kedua daripada tiga beradik itu berada di asrama MRSM Merbok dan menghubungi bapanya, Mahazir Hassan, 54, memaklumkan keadaan kesihatannya yang lemah selain sukar bernafas.

Disebabkan itu, bapanya membawanya ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua ketika itu.

“Luluh hati saya kerana ketika itu Iqmal bersemangat untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi disebabkan kesihatannya terganggu dia terpaksa melupakan hasratnya itu.

“Walaupun mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, ia tidak mencukupi kerana jarak rumah kami dengan HSB jauh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titi Serong, Yan, semalam.

Hamiza berkata, suaminya kini tidak bekerja dan hanya melakukan pekerjaan sambilan mengajar pelajar sekolah berkawad secara sukarela dan ada kalanya dibayar dan ada kalanya tidak.

Katanya, suaminya yang dulu bekerja sebagai pemandu bas terbabit dalam kemalangan 20 tahun lalu, menyebabkan sebahagian badannya melecur dan kerap mengalami sakit pinggang akibat insiden itu.

“Saya pernah terbabit dalam kemalangan pada tahun sama menyebabkan kaki kiri saya dimasukkan besi untuk membolehkan saya berjalan dengan baik sehingga hari ini.

“Kini saya hanya mampu menghasilkan kuih sejuk beku mengikut tempahan pelanggan dan ada kalanya memperoleh RM20 sehari, manakala suami pula menggunakan wang yang diterima daripada Perkeso sebanyak RM1,000 setiap bulan untuk menyara kami sekeluarga,” katanya.

Hamiza berkata, bil rawatan hospital pula perlu dibayar sendiri memandangkan anaknya tidak lagi bersekolah kerana sebelum ini mereka hanya menggunakan surat daripada pihak sekolah untuk rawatan percuma.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Hamiza di talian 017- 5981506 atau melalui akaun Hamiza 7045847175 Bank CIMB.

Sementara itu, Sukarelawan Sahabat Prihatin Kedah yang menziarahi Muhamad Iqmal semalam turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan makanan kepadanya dan akan berusaha untuk mendaftar remaja itu ke sekolah sekiranya dia berminat untuk menduduki SPM tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 2:52 PM