WARTAWAN dan jurugambar NSTP Biro Kuantan bergambar bersama pada majlis Anugerah Media Pahang DRB- HICOM di Kuantan, semalam. Foto MUHD ASYRAF SAWAL
WARTAWAN dan jurugambar NSTP Biro Kuantan bergambar bersama pada majlis Anugerah Media Pahang DRB- HICOM di Kuantan, semalam. Foto MUHD ASYRAF SAWAL
Asrol Awang


KUMPULAN The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) memenangi 11 kategori sempena Anugerah Media Pahang DRB-HICOM 2018 di Kuantan, semalam.

Wartawan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz meraih dua anugerah iaitu tempat pertama kategori Penulisan Rencana Terbaik dan ketiga Laporan Berita Terbaik Bahasa Melayu.

Tempat pertama kategori Laporan Berita Terbaik Bahasa Inggeris pula diraih bekas staf koresponden NST Pahang, Hidir Reduan Abdul Rashid, manakala wartawan T N Alagesh pula memenangi tempat kedua dan ketiga bagi kategori sama.

Jurugambar Mohd Asyraf Sawal meraih tempat pertama Foto Sukan Terbaik dan Foto Rencana Terbaik (kedua), manakala seorang lagi jurugambar Farizul Hafiz Awang menduduki tempat ketiga kategori Foto Rencana Terbaik.

Wartawan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz pula memenangi tempat kedua kategori Laporan Berita Terbaik Bahasa Melayu, manakala wartawan sambilan Asrol Awang menjuarai kategori laporan Berita Sukan Terbaik.

Sementara, bekas wartawan sambilan Ainal Marhaton Abd Ghani pula tempat ketiga Laporan Sukan Terbaik.

Wartawan TV3 Ahmad Fazli Ahmad pula meraih tempat pertama Laporan Berita TV Terbaik .

Johan setiap kategori masing-masing menerima wang tunai RM2,000, kedua pula menerima RM1,500 dan ketiga RM1,000.

Semua anugerah disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada bekas wartawan sambilan NSTP Allahyarham Shahrul Nizam Mohamad yang meninggal dunia pada 17 September lalu.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar dan Presiden Kelab Media Pahang (KMP) Datuk Nik Naizi Husin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:54 PM