TRAK makanan dan wagon yang menjalankan operasi perniagaan.
TRAK makanan dan wagon yang menjalankan operasi perniagaan.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Wilayah Persekutuan merancang untuk menambah jumlah pengusaha trak makanan selain mencari lokasi kekal untuk mereka berikutan sambutan menggalakan penduduk di daerah berkenaan.

Bukan itu saja, kementerian akan memperluaskan perniagaan khususnya di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan bagi memastikan industri makanan dan minuman dikendalikan dengan lebih tersusun, selamat dan bersih.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, perniagaan trak makanan itu adalah pendekatan baru yang lebih inovatif, malah ia semakin mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan penduduk di Wilayah Persekutuan.

“Kita akan memastikan gerai di tepi jalan digantikan dengan trak makanan sekali gus membolehkan ia diuruskan dengan bersih dan selamat. Saya difahamkan, kebanyakan pengusaha trak makanan ini dulunya pernah berniaga di gerai tepi jalan sebelum beralih kepada trak makanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Tapak Food Truck Presint 14 dan Kiosk D’Belian@14 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminudin Hassim.

Dalam pada itu, katanya, kementerian juga tidak meminggirkan agenda ekonomi Bumiputera di mana sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi pembinaan dan operasi Tapak Food Truck di Presint 14 dan Kiosk D’Belian@14.

Khalid berkata, kedua-dua program itu dilaksanakan di bawah Inisiatif Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Bagi mereka yang pernah mengatakan bahawa kita tiada agenda untuk membantu Bumiputera, jelas ia tidak benar sama sekali.

“Pembukaan tapak trak makanan di Presint 14 adalah sebahagian usaha kementerian membantu peniaga Bumputera untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.

Katanya, Putrajaya kini mempunyai dua tapak kekal trak makanan, masing-masing di Presint 2 dan Presint 14 membabitkan keseluruhan 40 trak makanan.

Khalid berkata, pelbagai kemudahan disediakan di kedua-dua lokasi berkenaan termasuk surau, ruang pejabat, kelengkapan kerusi dan meja untuk keselesaan pengunjung.

Selain itu, katanya, Kiosk D’Belian@14 membabitkan lapan gerai kecil pula dibangunkan bagi menempatkan peniaga kecil makanan dan minuman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 11:11 AM