STATUS yang dimuat naik Syed Saddiq di laman sosial Twitternya. FOTO Ihsan Twitter Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
STATUS yang dimuat naik Syed Saddiq di laman sosial Twitternya. FOTO Ihsan Twitter Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Meor Riduwan Meor Ahmad


KONTINJEN Malaysia mencipta nama di rantau Asia apabila menggondol tiga pingat emas dan tiga perak dalam pertandingan kemahiran dunia ‘Worldskill Asia 2018’(WSC 2018) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Pingat emas itu dimenangi bagi bidang kemahiran ‘Penyejukan dan Pendingin Hawa’, ‘Semburan cat kereta’ dan ‘Kimpalan’, manakala pingat perak diperoleh dalam ‘Kejuruteraan Reka Bentuk Mekanikal Berbantu Komputer (CAD)’, ‘Lukisan dan Hiasan’ serta ‘Teknologi Fesyen’.

Dalam pertandingan berlangsung dari 27 hingga 29 November lalu, kontinjen negara turut dianugerahkan lima pingat ‘Medallion Of Excellent’ sekali gus menjadi pembakar semangat untuk bersaing pada WSC 2019 di Kazan, Russia, tahun depan.

Sementara itu, semakan di laman web rasmi Worldskills Asia mendapati, wakil negara yang memenangi emas ialah Haziq Fauzi Abdul Jalil bagi kategori penyejukan dan pendingin hawa, Mohammad Ridzuan Wahid (semburan cat kereta) dan Mohamad Amirol Amin Mohamad Zamri (kimpalan).

Hanafi Osman, Ahmad Naim Mohamad Rosli dan Megat Muhammad Nurhan Munir masing-masing memenangi perak bagi kategori teknologi fesyen, lukisan dan hiasan serta kejuruteraan mekanikal CAD.

Dalam perkembangan sama, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dijadual menyambut kepulangan peserta yang mengharumkan nama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 10 pagi esok.

Pihak terbabit turut melahirkan penghargaan terhadap Mohammad Ridzuan yang juga penuntut Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua.

“Berita menggembirakan buat arena pendidikan kemahiran dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara apabila Mohammed Ridzuan merangkul pingat emas di WSC 2018 menerusi kategori semburan cat kereta.

“Lebih membanggakan, mereka turut membawa pulang keseluruhan tiga pingat emas dan tiga perak.

“Kejayaan ini adalah pencapaian signifikan kepada Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dalam usaha memperkasakan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0),” katanya.

Kejayaan Mohammad Ridzuan turut dikongsikan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi Twitter rasminya.

“Tahniah Mohammad Ridzuan dari IKBN Dusun Tua atas kejayaan ini. Pelajar TVET kita berjaya di pertandingan peringkat antarabangsa. Di bawah KBS, TVET akan terus diperkasakan!,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 11:44 PM