FOTO hiasan Arkib NSTP
FOTO hiasan Arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


KEMPEN ‘silent airport’ yang dilaksanakan Malaysia Aiports Holdings Bhd (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sejak empat minggu lalu bertujuan memberi keselesaan kepada pengguna di kedua-dua lapangan terbang berkenaan.

Silent Aiport adalah kempen global di mana jumlah pengumuman penerbangan menerusi pembesar suara dikurangkan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, konsep ‘silent airport’ bukan suatu yang baharu, malah beberapa lapangan terbang di luar negara melaksanakannya dalam mengurangkan bilangan pengumuman.

Menurutnya, berdasarkan kaji selidik, hampir keseluruhan responden menyatakan terlampau banyak pengumuman di lapangan terbang sehingga menimbulkan gangguan.

“Kami menjalankan kaji selidik lanjutan selepas inisiatif ini dijalankan, dan dapat dilihat hampir 98 responden menyambut baik usaha ini.

“Dengan pengurangan pengumuman ini, kami juga menggantikannya dengan lagu instrumental budaya Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita pada Festival Tarian Tradisional Malaysia di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Mohammadin Ketapi.

Semalam, media melaporkan, KLIA dan klia akan turut serta dalam kempen ‘silent airport’.

Dalam satu kemas kini di akaun Twitter, MAHB memaklumkan tiada lagi pengumuman di kedua-dua lapangan terbang itu dan meminta penumpang merujuk kepada papan informasi digital di dalam lapangan terbang untuk sebarang maklumat terbaharu dan penting.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, projek rintis kempen berkenaan akan dijalankan sehingga akhir tahun ini.

Katanya, daripada 500 pengumuman dibuat, kempen berkenaan berjaya mengurangkan kira-kira 63 peratus iaitu dianggarkan lebih 100 pengumuman.

Kempen Silent Airport adalah satu polisi yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu, di mana jumlah pengumuman menerusi pembesar suara dikurangkan.

Pengumuman yang dibuat hanya akan membabitkan situasi kritikal atau perubahan saat akhir.

Antara lapangan terbang yang menyertai kempen itu ialah Lapangan Terbang London City, Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town dan Lapangan Terbang Helsinki.

Terdahulu, Mohammadin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan MAHB bagi mempromosi tarian kebudayaan Malaysia di lapangan terbang untuk menarik pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 6:41 PM