DR Mahathir menyampaikan anugerah Tokoh Akademik Negara kepada Dr Jomo (dua kanan) di Putrajaya, malam ini. Foto MOHD FADLI HAMZAH
DR Mahathir menyampaikan anugerah Tokoh Akademik Negara kepada Dr Jomo (dua kanan) di Putrajaya, malam ini. Foto MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Husni Mohd Noor dan Hashini Kavishtri Kannan


PAKAR ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara ke-12 pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2018, malam ini.

Anugerah tertinggi dalam bidang pendidikan dan pembangunan negara itu disampaikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengiktirafan itu membolehkan Dr Jomo, 66, yang juga bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan membawa pulang wang tunai RM200,000 berserta trofi dan sijil.

Pemilihan Dr Jomo dibuat berdasarkan jasanya yang terbabit secara menyeluruh dan sentiasa menyumbang kepada penemuan ilmu, penjanaan kekayaan negara, menenuhi aspirasi universiti sebagai jentera pembangunan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.

Dr Jomo bukan nama asing dalam bidang pendidikan negara, malah pernah memegang pelbagai jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Penolong Setiausaha Agung PBB Bagi Pembangunan Ekonomi (PBB-DESA) iaitu pembuat polisi, mengeluarkan analisis ekonomi dan sosial berkualiti serta membantu negara-negara untuk membangun.

Jawatan terakhirnya di PBB adalah Penolong Ketua Pengarah dan Penyelaras Pembangunan Ekonomi dan Sosial di Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB bermula 2012 hingga 2015.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, biarpun sering menjadi sasaran kritikan, kerajaan masih berbangga dengan pencapaian ditunjukkan institusi pendidikan tinggi dan ahli akademik tempatan.

Menurutnya, pencapaian-pencapaian itu menyumbang kepada strategi untuk terus meletakkan martabat pendidikan negara di peringkat antarabangsa.

“Ahli akademik adalah golongan paling penting dalam melahirkan graduan yang mampu menghadapi cabaran masa depan dan bukan hanya menguasai ilmu sahaja sebaliknya turut memiliki nilai dan kebijaksanaan,” katanya.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.Katanya, penerima anugerah bagi AAN 2018 bukan sahaja mencipta nama di dalam negara, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana sumbangan besar dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Selain Dr Jomo, enam ahli akademik lain turut menerima anugerah dalam kategori masing-masing di mana masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor dari Universiti Malaya (UM) menerima Anugerah Penerbitan Buku; Mohd Faizul Noorizan (Universiti Teknologi MARA) menerima Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Kraf) dan Prof Madya Dr Mawar Safei (Universiti Kebangsaan Malaysia) menerima Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Penulisan Kreatif).

Selain itu, Prof Madya Dr Wan Zuhanis Saad (Universiti Putra Malaysia) menerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Tulen); Prof Madya Dr Fauziah Abdul Rahim (Universiti Utara Malaysia) menerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan) serta Prof Madya Dr Juan Joon Ching (Universiti Malaya) pula dinobatkan penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 10:55 PM