SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik cucunda baginda, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail (dua kiri) iaitu putera sulung Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail (dua kanan) sebagai Raja Muda Johor. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik cucunda baginda, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail (dua kiri) iaitu putera sulung Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail (dua kanan) sebagai Raja Muda Johor. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Junita Mat Rasid


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik cucunda baginda, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail iaitu putera sulung Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail sebagai Raja Muda Johor.

Pemasyhuran itu diumumkan Sultan Ibrahim pada majlis Istiadat sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-60, di Istana Besar, Johor Bahru, hari ini.

"Sebagaimana hak dan kuasa yang termaktub di dalam Fasal 23 Bahagian Pertama dan Fasal 7(2E) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, maka saya sebagai Raja dengan persekutuan Jumaah Majlis DiRaja, berkenan melantik, menjadikan dan menggelar Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail sebagai Raja Muda Johor.

"Oleh itu, mulai dari saat ini, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail adalah waris kedua kepada takhta pemerintahan kerajaan Johor iaitu orang yang menyusul kemudian daripada waris," titah baginda.

Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda, Sultan Ibrahim turut berkenaan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat kepada 62 individu.

Senarai penerima didahului oleh Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani yang dianugerahkan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran datuk.

Baginda turut berkenan mengurniakan gelaran datuk kepada lima lagi individu menerusi penganugerahan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ).

Penerima DMIJ ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Amran A Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Adib Azhari Daud.

Turut menerima DMIJ ialah Pengarah Tanah dan Galian Johor, Halim Hasbullah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Ramlee A Rahman serta Pegawai Pengiring (ADC) Sultan Johor, Senior Asisten Komisioner R Sugumaran.

Sultan Ibrahim turut berkenan menganugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada 26 individu serta Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II) kepada 29 individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 7:21 PM