Siti Sofia Md Nasir


MENGAMBIL keberkatan sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, seorang lelaki memilih mengembara ke empat negara dengan menunggang motosikal bagi mengumpul dana untuk golongan cacat penglihatan.

Lebih menarik, kembara dinamakan ‘Right For Sight 2018, Bikers Support The Blind’ itu akan dilakukan secara solo dengan hanya menunggang motosikal Yamaha FZ150i 150cc sudah berusia 10 tahun.

Kakitangan swasta, Mohd Adib Mohd Yusop, 33, berkata hasrat untuk mengembara itu mula dirancang sejak September lalu bagi membuktikan keprihatinan kumpulan bermotosikal terhadap golongan cacat penglihatan.

“Masyarakat sentiasa beranggapan kumpulan penunggang motosikal ini tidak sensitif. Jadi saya mahu membuktikan persepsi itu tidak benar.

“Kali ini, saya akan mengembara sambil beramal untuk mencari dana, membantu sambil menghulurkan sumbangan kepada pertubuhan kebajikan orang buta,” katanya ketika ditemui sebelum Majlis Pelepasan ‘Right For Sight 2018’ di Georgetown, hari ini.

Mohd Adib akan melakukan pengembaraan sejauh 14,000 kilometer (km) ke Thailand, Myanmar, Laos dan berakhir di China bermula hari ini sehingga 15 Disember hadapan.

Beliau akan membantu mengumpul dana bagi pertubuhan kebajikan orang buta, St Nicholas Home di Georgetown melalui tempahan penjualan baju sepanjang misi berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Adib berkata, beliau sanggup mengeluarkan wang poket sendiri, selain turut mendapat sumbangan daripada rakan bagi merealisasikan kembara berkenaan.

“Perbelanjaan sepanjang pengembaraan dianggarkan berjumlah RM12,000 dan saya gunakan wang sendiri dan tidak mendapat tajaan mana-mana pihak.

“Saya sentiasa memegang prinsip bahawa setiap kejayaan perlukan pengorbanan dan pengorbanan itu mesti ikhlas,” kata bapa kepada dua anak ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif St Nicholas Home, Danial Soon, berkata pihaknya bersyukur atas keprihatinan Mohd Adib terhadap golongan cacat penglihatan.

“Kami tidak mensasarkan sebarang jumlah tertentu untuk sumbangan dana berkenaan.

“Kami hanya mendoakan perjalanan Mohd Adib berjalan lancar dan tidak berhadapan dengan masalah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan baju boleh berbuat demikian melalui laman sosial rasmi Facebook Kembara Jiwa atau Mohd Adib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 3:42 PM
MOHD Adib bersemangat ketika memulakan misi kembara bermotosikal secara solo ‘Right For Sight 2018, Bikers Support The Blind’ di St Nicholas Home, Bagan Jermal, Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
MOHD Adib bersemangat ketika memulakan misi kembara bermotosikal secara solo ‘Right For Sight 2018, Bikers Support The Blind’ di St Nicholas Home, Bagan Jermal, Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.