TIMBALAN Mufti Perak, Zamri Hashim. FOTO Abdullah Yusof
TIMBALAN Mufti Perak, Zamri Hashim. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


TIDAK ada keperluan bagi pihak berkuasa agama untuk menarik balik pengharaman fatwa mengenai ajaran Syiah di negara ini.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, fatwa mengenai ajaran Syiah yang difatwakan terkeluar dari ajaran Islam itu tidak silap, bahkan fatwa berkenaan tidak perlu ditarik balik.

Katanya, fatwa pengharaman di Malaysia bukanlah yang pertama bahkan ulama terdahulu seperti Imam Malik, Imam Ahmad, Imam al-Qurtubi, al-Bukhari dan Imam al-Ghazali terlebih awal menfatwakan golongan itu terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar.

“Asas fatwa ini cukup kuat kerana golongan ini bercanggah dari sudut akidah syariat dan akhlak.

“Rukun Islam Syiah tidak sama dengan rukun Islam Ahli Sunnah wal Jamaah seperti terkandung di dalam kitab rujukan mereka iaitu Usul al Kafi (jilid dua hal 20).

“Di dalam kitab ‘Fashlul Khitab fi Tahrif Kitabi Rabbil Arbab’ menyatakan bahawa al-Quran yang ada telah diselewengkan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Semalam, aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar menggesa pembatalan fatwa tahun 1996 yang menetapkan Syiah sebagai ajaran yang menyimpang daripada Islam.

Chandra memberitahu portal berita, bahawa beliau percaya fatwa itu tersilap dan penganut fahaman Syiah tidak bertentangan dengan Islam kerana seperti pengikut mazhab Ahli Sunnah, mereka menerima al-Quran sebagai wahyu dan beriman dengan keesaan Allah SWT.

Zamri berkata, golongan Syiah mengkafirkan isteri dan sahabat Nabi SAW, mengamalkan nikah mut’ah atau kahwin kontrak.

Katanya, perkara berkaitan nikah mut’ah dilihat sudah tentu akan merosakkan kemuliaan penjagaan nasab.

“Fahaman ini jika berleluasa akan menyebabkan umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah akan berkonfrontasi dan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat Islam.

“Ini kerana menurut fahaman mereka seperti dinukilkan dari kitab mereka ‘Ikmal ad Din’, orang yang tidak percaya dengan Imam ghaib lebih kafir dari iblis.

“Bahkan di dalam kitab mereka ‘Biharul Anwar’ mengatakan halal darah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata, dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, ciri berkaitan ajaran Syiah itu perlu didedahkan kepada masyarakat Islam supaya akidah mereka terselamat daripada kesesatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 11:00 AM