GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Salmiah A Hamid


LANGKAH tegas yang diambil kerajaan, akhirnya membuahkan hasil apabila kadar kelajuan jalur lebar negara mencatatkan peningkatan ketara.

Menurut satu kaji selidik kadar kelajuan jalur lebar oleh The Speedtest Global Index (SGI), Malaysia naik 10 anak tangga, Oktober lalu dan menduduki tangga ke-26 terpantas di dunia dengan purata kelajuan tetap 61.97mbps.

Ini bermakna, rakyat Malaysia kini menikmati kadar kelajuan yang lebih signifikan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak berkata, ia adalah berita positif dan sebagai permulaan untuk memperkukuhkan perkhidmatan jalur lebar dalam negara.

"MCMC akan terus memantau dengan tegas pakej yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi bagi memastikan pengguna menikmati kualiti perkhidmatan yang baik, berkelajuan tinggi dan pada hargaberpatutan untuk jangka masa panjang.

"Malah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sendiri menjadikan isu ini sebagai keutamaan beliau," katanya.

Terdahulu, Gobind melalui satu kenyataan, mengisytiharkan pada permulaan penggal perkhidmatannya bahawa beliau mahu syarikat telco tempatan untuk meningkatkan kadar kelajuan jalur lebar dengan harga rendah.

Sehingga kini, kerajaan sudah menunaikan janji mereka untuk mengurangkan harga jalur lebar berkelajuan tinggi talian tetap sebanyak 25 peratus menjelang akhir 2018 manakala harga pakej permulaan sudah pun dikurangkan lebih daripada 30 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 3:53 PM